Itu lah hakikat yang sangat mendukacitakan kita. Ketika masyarakat dilanda kebimbangan berhubung keruntuhan nilai moral dan peningkatan gejala sosial, terutama di kalangan remaja, di manakah kewajarannya untuk kita terus membiarkan gaya hidup bebas dan terbabas mewarnai masyarakat kita?
Perlu diingat, kebanyakan budaya hidup merosakkan yang menular di kalangan remaja kini berlatarbelakangkan cara hidup yang sukakan hiburan dan kebebasan. Kita boleh meninjau budaya-budaya kuning seperti Black Metal, Skinhead, Punk, Hip Hop, Grunge dan sebagainya. Kesemua mereka tidak dapat dipisahkan dengan beberapa tabiat dan perlakuan buruk seperti meminum arak, dadah, pesta muzik dan seks bebas.
Menyambut ketibaan tahun baru dengan perhimpunan yang menyajikan hiburan dan pergaulan bebas bagaikan menyediakan medan terbaik bagi golongan seumpama ini menyempurnakan tabiat buruk mereka. Ia malah turut memudahkan budaya buruk itu berjangkit dan merebak di dalam masyarakat.
Berdasarkan pengalaman lalu, acara sambutan tahun baru banyak mendorong anak muda kita hanyut dalam kehidupan bebas dan terbabas. Keasyikan berhibur dan berfoya melupakan mereka kepada akar umbi sebagai bangsa Timur, apatah lagi jika nak dinilai berdasarkan nilai agama Islam.
Kita sebenarnya telah mewarisi budaya hidup cukup murni dan boleh dikatakan sempurna dalam konteks melahirkan insan yang beradab dan berbudi pekerti mulia. Malangnya warisan itu dipunahkan oleh kita sendiri dengan membiarkan budaya asing menguasai kehidupan kita.
Sebagaimana sedia dimaklumi umum, beberapa lokasi di ibu negara seperti Bintang Walk, Dataran KLCC, Dataran Merdeka dan Bangsar sering menjadi tumpuan warga kota, terutama kalangan anak muda berpesta di setiap perayaan. Namakan saja, sama ada sambutan Hari Kemerdekaan, Hari Krismas, mahu pun tahun baru, lokasi-lokasi itu tidak akan ketandusan manusia.
Amat mendukacitakan, ia dipenuhi pasangan remaja dengan lagak bebas dan terpesong. Malah ada yang bertindak di luar batasan adab dengan berpeluk-cium tanpa segan silu, saling tak tumpah gelagat remaja Barat yang kita lihat menerusi kaca tv. Kelakuan sebahagian mereka seolah-olah dunia ini mereka yang punya. Mereka langsung tidak menghiraukan pandangan dan sensitiviti orang lain yang turut berada di situ.
Disko, pub dan bar dipenuhi orang ramai, kebanyakan remaja. Mereka meminum arak serta membuat aksi yang bertentangan nilai keagamaan dan norma ketimuran. Ada remaja yang terpaksa dipapah rakan-rakan dalam keadaan mabuk, termasuk remaja perempuan yang diusung teman-teman lelaki. Tidak sukar kita menelah apa yang berlaku selepas itu, bukan?
Keadaan itu turut mendorong kepada beberapa penyakit sosial lain, seperti pemanduan di bawah pengaruh alkohol yang membahayakan nyawa pengguna lain, pergaduhan, laku musnah, perogolan dan seumpamanya.
Pernah dilaporkan media dua kumpulan remaja saling berbalas serangan di awal pagi tahun baru selepas terlibat dengan pertelingkahan semasa menghadiri satu perhimpunan menyambut kedatangan tahun baru di sekitar ibu negara.
Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku di negara kita yang terkenal dengan adab dan sopan-santun. Sepatutnya dalam bab sebeginilah para pemimpin negara perlu berteriak, ini bukan budaya kita Betul, tak?
Masalahnya, perhimpunan seumpama ini tidak pula digema-riuhkan sebagai perhimpunan haram di sisi undang-undang negara. Dalam beberapa keadaan, ia bukan sahaja dibenarkan kerajaan, malah disediakan lokasi atau tempat paling sesuai untuk keselesaan peserta.
Pihak berkuasa tempatan dan polis bukan sahaja memberikan mereka permit untuk berhimpun, malah segala bentuk kerjasama menjayakannya. Media massa turut mengiklankannya bagi menarik kehadiran orang ramai.
Dalam sebilangan acara, ia malah turut dijayakan para pemimpin tertinggi negara dan negeri. Kelibat polis di simpang dan jalan raya menuju ke lokasi majlis itu bukan untuk mengadakan sekatan, tetapi bagi melancarkan perjalanan peserta.
Di lokasi perhimpunan pula, kehadiran polis bukan untuk menyurai hadirin dengan lontaran bom asap atau pancutan air berasid, tetapi bagi memastikan aturcara dibauri maksiat dan keruntuhan moral itu berlangsung dengan lancar.
Itulah gambaran persepsi songsang tentang nilai moral dan akhlak masyarakat kita sekarang. Perlu diingat bahawa moral dan akhlak menjadi teras bagi tamadun sesuatu bangsa. Dalam keadaan yang ada kini, apa lagi yang boleh kita banggakan dengan tamadun bangsa kita?
Isu gejala sosial dan keruntuhan akhlak sangat berleluasa dalam masyarakat terutama di kalangan remaja. Satu fenomena jelas di kalangan mereka ialah kegilaan kepada hiburan dan gaya hidup bebas.
Apakah kita dalam suasana yang sangat gersang hiburan dan pesta-pestaan sehinggakan memaksa kita menganjurkan sekian banyak perhimpunan untuk bersuka-ria setiap adanya perayaan atau sambutan? Tidak cukup lagikah lambakan hiburan dipaparkan media berbagai saluran saban malam yang boleh ditonton di rumah masing-masing?
Mengambilkira kesan jangka panjang perhimpunan dan pesta seumpama ini kepada keruntuhan moral dan jatidiri rakyat, ia sepatutnya dijauhi atau ditegah. Pihak berkuasa tempatan, polis dan jabatan agama sebagai agensi kerajaan sepatutnya memainkan peranan yang penting dalam membasmi gejala merosakkan ini.
Kerosakan akhlak dan keruntuhan moral sebenarnya jauh lebih bahaya daripada kerosakan harta benda, lebih bahaya daripada sekadar kesesakan jalanraya beberapa jam. Ia merupakan ancaman paling menakutkan kepada masa depan negara dan sepatutnya dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara.
Mengapa? Kerana, majoriti golongan dirosakkan perhimpunan hiburan itu adalah remaja. Suka atau tidak, perlu diakui bahawa hanya pada mereka kita mampu sandarkan harapan untuk menerajui dan mencorakkan negara di masa depan.
Kita tidak akan mampu menongkat langit dan hidup seribu tahun. Selepas ketiadaan kita, mereka inilah bakal mewarisi teraju masyarakat. Baik atau bobrok, itulah pemimpin masa depan. Maka, jika kita yang bertanggungjawab merosakkan mereka hari ini, jangan salahkan mereka jika di belakang hari nanti negara punah-ranah di tangan mereka.
Menurut ajaran Islam, corak kehidupan rakyat sesebuah negara banyak bergantung kepada cara hidup para pemimpinnya. Jika pemimpin mabuk arak, apa peliknya rakyat mabuk dadah, pil kuda, arak dan samsu? Jika pemimpin menyeleweng, merasuah dan menyalah guna kuasa, bagaimana mahu dibanteras penyakit itu dalam masyarakat?
Sama juga, jika para pemimpin turut serta menjayakan acara yang mendorong rakyat untuk bebas dan terbabas, sampai bila kita akan dapat mengubati penyakit moral dan gejala sosial mereka?
Sehingga kini telah berbuih teguran ini diperkatakan. Namun ia bagaikan hinggap di telinga yang pekak badak. Dasar liberal dalam pemerintahan kerajaan Barisan Nasional nampaknya masih tidak dapat menerima perkara ini sebagai saham kepada kerosakan masyarakat.
Barangkali rakyat tiada pilihan jika mahu memperbetulkan kepincangan sosial ini, melainkan sama-sama kita bersepakat menunjukkan BN pintu keluar pada pilihan raya umum nanti!